Contoh Karangan SPM: Keburukan Membaca Bahan Bacaan Picisan
Dapatkan Buku Latihan SPM untuk semua subjek termasuk Bahasa Melayu termurah disini: https://shp.ee/yirqqfb
Penulis: CHEE FEI
SAN ( 5 ALAMANDA, SMK MERBAU)
Pushkin pernah
mengatakan bahawa “buku merupakan makanan rohani kita”. Ungkapan ini jelas
menunjukkan bahawa betapa pentingnya amalan membaca dalam kalangan masyarakat
terutamanya golongan pelajar. Pada masa kini, terdapat pelbagai bahan bacaan
yang boleh diperolehi dengan begitu mudah sama ada daripada kedai buku, perpustakaan
ataupun sumber internet. Antaranya termasuklah novel, buku rujukan, majalah
hiburan, komik dan lain-lain. Dalam menghadapi pelbagai pilihan bacaan yang
merambangkan mata, bahan bacaan picisan yang mampu menghiburkan hati pembaca ghalibnya
menjadi pilihan orang ramai. Dalam hal ini, kita sebagai pembaca yang cerdik “janganlah
menilai sesebuah buku itu berdasarkan muka surat depannya” sedangkan
isi kandungannya tidak diketahui. Hal ini sama juga dengan bahan bacaan picisan
yang sebenarnya membawa pelbagai keburukan kepada pembacanya. Persoalannya,
apakah kesan negatif yang diundang melalui pembacaan bahan picisan ini?
Antara keburukan
membaca bahan picisan ini ialah bahan bacaan tersebut mampu merosakkan minda
pembaca. Perkara ini demikian kerana pelbagai unsur negatif yang terkandung
dalam bahan bacaan picisan akan mempengaruhi minda pembaca. Sebagai contoh,
unsur ganas atau lucah, hal ini lebih serius apabila pembacanya terdiri
daripada golongan remaja yang usia setahun jagung darah setampuk pinang
yang masih tidak matang pemikirannya. Apabila mereka banyak terdedah dengan
unsur-unsur sebegini, cara pemikiran mereka akan berubah. Namun perubahan ini
tidak mendatangkan sebarang kebaikan. Mereka akan berpandangan negatif terhadap
perkara yang berlaku di sekeliling mereka dan mengambil tindakan tanpa berfikir
dengan teliti terlebih dahulu. Perbuatan ini mungkin akan menyebabkan mereka
menyesal seumur hidup seperti kata peribahasa Cina “Menyimpang seinci, rugi sebatu”
. justeru, mereka tidak sewajarnya membiarkan “nafsu-nafsi beraja di mata,
bersultan di hati” masing-masing
untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Selain itu,
pembacaan bahan bacaan picisan yang keterlaluan akan menyumbang kepada
kemerosotan akademik remaja yang rata-ratanya masih bergelar pelajar. Hal ini
ghalibnya disebabkan oleh sikap pelajar yang tidak tahu membahagikan masa untuk
mengulang kaji pelajaran dan membaca bahan hiburan. Mereka tidak seharusnya
terlalu taasub membaca bahan bacaan picisan yang tidak membantu apa-apa pun
dalam peningkatan prestasi akademik mereka. Sebaliknya, mereka perlu giat
mencari jalan untuk memajukan diri sendiri. Pembacaan bahan picisan sebegini
seharusnya dilakukan sekadar mengisi masa lapang atau menghiburkan hati untuk
mengelakkan stress. Hal ini demikian supaya pelajar tidak akan menjadi seperti
kepala kosong yang mengalami ketandusan ilmu pada kemudian hari. Bahan bacaan
yang lebih sesuai untuk mereka ialah buku-buku ilmiah yang mengandungi ilmu
pengetahuan yang didahagakan oleh para pelajar. Memandangkan ilmu pengetahuan
mampu mengubah nasib seseorang, maka mereka perlulah rajin mengejar ilmu
pengetahuan dan bukannya keseronokkan jangka pendek melalui bahan bacaan
picisan.
Bukan itu sahaj,
masa yang berharga akan disia-siakan begitu sahaj melalui pembacaan bahan
bacaan picisan yang tidak berkualiti. Misalnya, pembaca akan menghabiskan masa
lapangnya untuk membaca bahan picisan di rumah atau kedai buku. Apabila mereka
mula membaca, perkara-perkara lain yang berlaku di sekeliling seolah-olah tidak
berkaitan dengan mereka. Mereka seperti berada di dunia khayalan yang direka
oleh penulis bahan picisan tersebut. Mereka akan mengimpikan diri sendiri
sebagai hero atau heroin yang menjadi watak utama penghias cerita dalam bahan
picisan yang dibaca. Namun begitu, hanya dunia realiti yang sebenarnya kita
berada dan harus kita berada. Kita tidak wajar sentiasa berangan-angan seperti
budak kecil tentang perkara yang mustahil sebaliknya kita haruslah berpijak
di bumi yang nyata. Hal ini demikian kerana perbuatan ini
tidak mendatangkan apa-apa faedah. Lagipun, masa kita yang seumpama emas akan
dibazirkan. Justeru, masa lapang kita seharusnya dihabiskan dengan melakukan
aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti bersukan dan beriadah.
Sebagai penutup
bicara, bahan bacaan picisan sememangnya banyak mendatangkan pelbagai kesan
negatif kepada pembacanya sama ada secara langsung atau tidak langsung. Oleh
yang demikian, sebagai pembaca yang berilmu, kita patut bijak memilih bahan
bacaan yang sesuai dengan diri kita. Tamsilnya, bahan bacaan yang sesuai
dengan pelajar ialah bahan bacaan hiburan yang berunsur pendidikan seperti buku
ilmiah, jurnal dan buku rujukan. Walau bagaimanapun, bahan bacaan hiburan yang
berunsur positif juga sesuai bagi para pembaca dari pelbagai lapisan. Dengan
kata lain, pelbagai pihak haruslah berganding bahu “seperti aur dengan tebing” untuk
mengelakkan impak bahan bacaan picisan daripada memudaratkan masyarakat masa
kini khususnya generasi muda. Sehubungan dengan itu, ibu bapa juga perlu
memainkan peranan dalam usaha memupuk amalan membaca bahan-bahan yang berilmiah
dan berilmu dalam diri anak-anak mereka. Justerru. Diharapkan golongan remaja
yang menjadi tonggak negara dapat menyerap sebanyak mungkin kebaikan daripada
bahan bacaan yang sesuai untuk menjamin minda yang lebih kompetitif dan sihat.
0 Post a Comment